Kevin de Bruyne berasakan cakap-cakap mengenai pasukannya, Manchester City, akan meraih empat kejuaraan musim ini sebagai sesuatu yang terlalu jauh untuk direalisasikan.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu akan menentang Schalke dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok dan diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk ke suku akhir berbanding lawan yang kini berada di tangga ke-14 Bundesliga itu.

Aksi final Piala Liga Inggeris (EFL) hujung minggu ini akan menyaksikan City berdepan Chelsea -- lawan yang mereka aibkan dengan kemenangan 6-0 dalam saingan liga awal bulan ini -- dan skuad kendalian Pep Guardiola itu dijadualkan untuk berkunjung ke Swansea City bagi aksi suku akhir Piala FA.

Bercakap dalam sidang media di Essen, bekas bintang Wolfsburg, De Bruyne, mengakui tumpuannya kini hanya terarah kepada perlawanan berdepan Schalke.

"Saya berasakan setiap jaringan yang dihasilkan bukan untuk memenangi empat piala tetapi untuk memenangi setiap perlawanan.

"Semakin jauh anda melangkah, semakin besar keinginan untuk memenangi perlawanan berikutnya.

"Kami mungkin menjulang kejuaraan pertama kami Khamis ini, namun anda tidak boleh katakan ia sebagai permulaan untuk kami memenangi empat kejuaraan.

"Kami gembira dengan kedudukan kami sekarang, kami mahu melangkah ke suku akhir (Liga Juara-Juara) dan semakin hampir untuk menjuarainya.

"Namun, untuk memenangi keempat-empat kejuaraan bagi meletakkan standard setinggi itu merupakan perkara yang hampir mustahil," katanya.

Prestasi pemain tengah Belgium itu terganggu ekoran dua pembedahan lutut sepanjang musim ini.

"Kecederaan seperti itu adalah perkara biasa.

"Saya menghadapi dua kecederaan lutut. Ia tidak bagus, namun ia sebahagian daripada bola sepak.

"Saya bernasib baik kerana setiap kecederaan yang dialami menjadikan saya lebih segar dan kekal baik.

"Adakalanya amat baik untuk menemui rentak dan meneruskannya sepanjang musim.

"Itu yang berlaku musim lalu.

"Musim ini lebih sukar, enam bulan merupakan tempoh yang lama.

"Namun, saya berasa semakin baik dari hari ke hari.

"Saya amat gembira dengan perkara itu," tambahnya.