Petr Cech akan terus menjadi penjaga gol pilihan utama Arsenal selepas Unai Emery memberikan pemain veteran itu keyakinan menjelang kunjungan ke Chelsea, esok.

Meskipun dia tangkas menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan dalam kekalahan 0-2 kepada Manchester City hujung minggu lalu, Cech meraih tumpuan apabila bergelut untuk memperagakan corak permainan seperti yang dihajati Emery.

Satu daripada usahanya untuk memulakan permainan dari barisan belakang hampir membawa padah, lalu pemerhati menganggap Bernd Leno lebih layak mengemudi gawang dalam pertemuan di Stamford Bridge.

Emery, bagaimanapun, tidak terkejut, malah memuji persembahan Cech dan menyokongnya untuk terus meningkat apabila berdepan bekas kelabnya itu.

"Saya sangat gembira dengan persembahannya. Dia mempunyai pengalaman, kualiti dan kemampuan," kata pengurus The Gunners itu kepada wartawan.

"Begitu juga dengan Bernd Leno, mereka merupakan dua penjaga gol yang penting bagi kami.

"Mereka mempunyai kualiti yang berbeza tetapi sesuai dengan corak yang kami mahu ketengahkan, kedua-duanya berkemampuan. Untuk esok, keputusan untuk saya adalah mudah... Petr Cech akan memulakan perlawanan.

"Tetapi jika Bernd bermula, saya juga menaruh kepercayaan terhadapnya."

Stephan Lichtsteiner atau Nacho Monreal yang kembali cergas bakal mengisi posisi pertahanan kiri bagi menggantikan Ainsley Maitland-Niles yang diketepikan selama dua bulan akibat retak tulang kaki kirinya.

Walaupun tewas kepada City, Emery tidak akan mengubah falsafah permainan yang cuba diterapkannya.

"Anda tidak boleh mengubah mentaliti hanya kerana kalah dalam perlawanan pertama," katanya.

"Saya mahu konsistensi dalam persembahan kami. Saya mahu kami dapat berfikir dan mempunyai mentaliti yang baik."