Zinedine Zidane menafikan rungutan Ronald Koeman bahawa Barcelona menerima layanan berat sebelah daripada pengadil perlawanan selepas Real Madrid menewaskan pesaing sengit Barcelona 2-1 untuk mendahului LaLiga, awal pagi tadi.

Madrid menuju gemilang sebelum rehat dengan gol pembukaan daripada Karim Benzema disusuli dengan sepakan percuma Toni Kroos untuk mengukuhkan kedudukan.

Kemudian percubaan Federico Valverde terkena tiang ketika Madrid cuba mencengkam kedudukan namun sebaik Lionel Messi berpeluang menguji satu percubaan daripada sepakan sudut, pelawat beraksi beraksi semakin baik untuk Oscar Mingueza mengurangkan jurang perlawanan selepas sejam beraksi.

Bagaimanapun, pengadil, Jesus Gil Manzano, dan rakan sejawatnya diserbu Koeman selepas wisel terakhir perlawanan ditiupkan kerana tidak berpuas hati dengan insiden Martin Braithwaite yang dikasari Ferland Mendy tetapi tidak diberikan sepakan penalti, bahkan ia tidak dirujuk ke video bantuan pengadil (VAR).

Dalam hujan lebat itu, Gil Manzano juga perlu mengubah set telekomunikasinya, lantas Koeman tidak berasakan masa kecederaan yang ditawarkan tidak memadai.



Begitupun, Zidane lebih suka menumpukan perhatian terhadap prestasi pemainnya.

"Seperti biasa, ia adalah satu bentuk tafsiran. Setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri sama ada ia penalti atau tidak," katanya kepada TV LaLiga.

"Mengenai masa pemberhentian, ia adalah satu kes yang sama sekali berbeza. Sama ada empat, lima atau enam minit sekali pun, pengadil berhak membuat keputusan.

"Saya tidak mahu mengulas panjang dalam hal ini.

"Ia kemenangan penting buat kami dan kami melakukan tugas kami. Kami mempunyai banyak peluang untuk mematikan perlawanan ini dengan lebih awal.

"Barcelona merupakan pasukan yang sangat mantap dan kami masih cuba memperagakan aksi kami dan secara dasarnya memimpin permainan.

"Kami sangat gembira dengannya tetapi saya tidak akan membahas perincian lain dalam perlawanan ini.

"Kami tidak boleh hanya bercakap tentang pengadil. Kami beraksi dan ini adalah kemenangan yang sangat penting."

Zidane kehilangan Lucas Vazquez kerana cedera sebelum rehat sambil bertindak berani menggantikan Benzema, Valverde, Kroos dan Vinicius Junior dalam babak kedua di sebalik perlawanan berlangsung rancak sementara Casemiro menempah kad kuning kedua kerana kekasaran ke atas Mingueza pada masa kecederaan.

Madrid bakal berdepan Liverpool di Anfield, Khamis depan, lapan hari selepas kemenangan 3-1 dalam pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) ke atas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Ia adalah dua perlawanan yang sangat getir. Kami harus berehat dengan baik, barisan pemain masih keletihan," tambah Zidane dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Tahap fizikal kami menghampiri kemuncaknya. Kami bergelut untuk menghabiskan perlawanan tetapi kami masih dapat terus bersaing ."