Edin Dzeko bersetuju ke Inter tatkala juara bertahan Serie A itu dengan pantas merekrutnya sebagai pegganti Romelu Lukaku.

Inter menjual Lukaku kepada Chelsea dengan harga £97.5 juta (€572.8j) dan segera memuktamadkan pembelian Dzeko daripada Roma.

Penyerang berusia 35 tahun itu menandatangani kontrak dua tahun dengan Inter dan biarpun perpindahan itu belum diumumkan, dia telah beraksi dalam perlawanan persahabatan pra-musim menentang Dynamo Kiev, tengah malam tadi.

Inter menang 3-0 dalam perlawanan tertutup itu dengan Dzeko memahat nama selaku penjaring dan menyumbang kepada satu gerakan gol.

"Saya berasa seronok, saya sangat gembira. Ini adalah peluang menarik buat saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan jurulatih atas kepercayaan mereka kerana mereka fikir saya masih mampu membawa perbezaan dalam perlawanan," kata Dzeko.

"Saya tiba di Inter, sebuah kelab yang hebat, juara Itali. Selama enam tahun dalam Serie A ini, saya dapat melihat dengan dekat mengenai Inter dan apa yang mereka wakili: Kini saya dapat mewakili mereka dan saya sangat gembira."




Dzeko hanya merakamkan tujuh gol liga dalam 27 penampilan musim lalu.

Secara keseluruhan, dia telah menyumbangkan 77 jaringan dalam saingan teratas Itali itu bersama Roma untuk memenangi Kasut Emas pada musim 2016-17 dengan 29 gol.

Pasukan bimbingan Simone Inzhagi itu turut diperkuatkan dengan kedatangan pertahanan Belanda, Denzel Dumfries, yang diikat hingga 2025 selepas meninggalkan PSG.

Genoa merupakan pencabar pertama juara bertahan itu dalam kempen Serie A musim 2021-22 yang bermula hujung minggu depan.