Eddie Howe tidak dapat menyertai perlawanan pertamanya sebagai pengurus Newcastle United malam ini selepas disahkan positif koronavirus.

Bekas pengendali Bournemouth itu dinamakan sebagai pengurus baru Newcastle sebelum waktu rehat antarabangsa lalu.

Selepas dua minggu di padang latihan, tumpuan pasukan itu terarah kepada perlawanan menentang Brentford di St James' Park malam ini, di mana Newcastle menyasarkan untuk menamatkan rekod buruk 11 perlawanan tanpa kemenangan sejak permulaan musim ini.

Bagaimanapun, The Magpies akan turun tanpa Howe selepas pengurus baru itu terpaksa menjalani pengasingan gara-gara disahkan positif COVID-19.

Jason Tindall (pembantu Howe sewaktu di Bournemouth) dan Graeme Jones (jurulatih interim selepas Steve Bruce dipecat) akan membimbing pasukan itu bagi perlawanan menentang Brentford.

"Saya amat kecewa kerana tidak dapat bersama anda semua di St James' Park esok," tulis Howe dalam satu kiriman buat penyokong.

"Tetapi adalah amat penting untuk mematuhi garis panduan dan pengasingan kendiri.

"Saya mahu memaklumkan kepada semua orang bahawa saya berasa sihat, dan sepanjang berita yang tidak menyenangkan buat saya ini, saya tahu ia tidak menjejaskan persiapan kami untuk menghadapi perlawanan penting ini.

"Saya telah dan akan sentiasa berkomunikasi dengan pasukan kejurulatihan saya untuk esok dan sepanjang minggu ini dan saya tahu mereka akan memberikan segala-galanya di dalam dan di luar padang," katanya.