LEICESTER 0 PSV 0

Brendan Rodgers merumuskan pengalaman cetek Leicester City menyebabkan mereka seri tanpa jaringan dengan PSV, awal pagi tadi, tetapi masih berharap untuk mara ke separuh akhir Liga Persidangan Europa (ECL).


The Foxes gagal menemui jalan keluar dalam 10 percubaan ketika pertembungan pertama suku akhir di Stadium King Power itu dan hanya dua daripadanya menuju tepat ke sasaran sementara PSV sempat menguji Kasper Schmeichel sekali sahaja.

Buat julung kalinya Leicester tumpul gol selepas perlawanan sembilan Eropah apabila menghasilkan 20 jaringan dalam lapan perlawanan terdahulu dengan purata 2.5 gol setiap perlawanan.

Ini suku akhir Eropah kedua tuan rumah dengan satu lagi perlawanan adalah pada Liga Juara-Juara 2016-17, manakala PSV pernah mara ke peringkat lapan terakhir sebanyak 16 kali.

Lantas, pengurus City itu -- yang menyaksikan anak buahnya memperagakan prestasi kurang tekal sepanjang musim ini -- berasakan kedua-dua pasukan sebenarnya sama handal.

"Ada kalanya kami menunjukkan kekurangan pengalaman dan ia boleh berlaku," katanya dalam sidang akhbar pasca perlawanan.

“Kami berjaya menyusup dalam babak pertama tetapi selepas itu terlalu gopoh.

"Ia sentiasa sukar. Anda mahu memenanginya tetapi ia tidak menjadi.

"Kami akan bertandang ke sana dan mereka akan membuka lebih banyak ruang. Kami menantikannya."





Selepas hari yang mengecewakan di depan gawang, Rodgers menuntut barisan penyerangnya agar lebih klinikal.

"Ia satu persembahan yang baik. Tidak ada terlalu banyak peluang dijelmakan," katanya.

"PSV menguasai awal permainan selain itu saya fikir kami kental bertahan.

"Tidak banyak peluang dalam perlawanan ini. Mungkin juga jika kami lebih berkualiti di dalam kawasan berbahaya lawan akan memudahkan kami.

"Kami hanya kekurangan sedikit kualiti daripada segi itu. Kami hanya tidak mempunyai sentuhan akhir untuk menterjemahkan peluang tersebut.

"Ini bukan sesuatu yang mengejutkan oleh PSV. Mereka mempunyai pemain yang bagus dan menjadi ancaman dalam serangan balas.

"PSV menjaringkan banyak gol domestik baik di tempat sendiri dan di tempat lawan tetapi kami mengekangnya agar tidak kerap berlaku."