ALKMAAR 0 WEST HAM 1
(West Ham mara dengan agregat 1-0)

David Moyes melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarganya selepas penyokong AZ Alkmaar cuba menyerang ke arah tempat duduk penyokong West Ham dalam kemenangan separuh akhir Liga Persidangan Europa UEFA (ECL) di Belanda, awal pagi tadi.


Sentuhan pemusnah Pablo Fornals dalam masa kecederaan mendorong sekumpulan penyokong AZ yang berbaju hitam cuba menyerbu ke kawasan yang dikhaskan untuk rakan dan keluarga di belakang bangku simpanan pelawat.

Kejadian itu memaksa campur tangan pemain West Ham termasuk Michail Antonio, Said Benrahma, Aaron Cresswell dan Flynn Downes yang memanjat papan iklan dalam usaha untuk menyekat masalah.

Moyes -- yang bapanya, David Snr, 87, turut berada dalam stadium itu -- berkata: “Saya tidak dapat menjelaskan apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku.

“Saya hanya boleh mengatakan pemain juga campur tangan memandangkan ia melibatkan keluarga dan kebanyakan keluarga dan rakan mereka berada di sana. Itu mungkin sebab reaksi seperti itu tercetus.



“Adakah saya bimbang? Ya, keluarga saya juga berada di sana dan saya mempunyai kawan di tempat penyokong. Kami berharap mereka akan cuba menjauhkan diri..

“Saya tidak menyedarinya kerana saya berada di atas padang. Pihak keselamatan mahu membawa saya masuk tetapi saya perlu memastikan pemain saya tidak terlibat.

“Apa yang kami tidak mahu lakukan dalam apa cara sekalipun ialah memburukkan malam ini kerana sudah tentu bukan penyokong West Ham yang mencari masalah.

"Mudah-mudahan pihak berkuasa akan menelitinya.”