Paulo Dybala kecewa dengan spekulasi yang berterusan mengenai masa depannya di Juventus sambil mendakwa khabar angin seperti itu mencetuskan kebencian penyokong terhadapnya.

Dybala menandakan penampilan ketujuhnya dalam Serie A musim ini dengan gol pembukaan ketika menewaskan Genoa 3-1 awal pagi tadi, di mana dua gol sepakan penalti Cristiano Ronaldo memastikan pasukan itu memperoleh tiga mata selepas Stefano Sturaro menyamakan kedudukan.

Bekas pemain muda berbakat Palermo, Dybala, masuk melalui bahagian kanan dan mengatasi pertahanan lawan untuk melepaskan rembatan ke penjuru kanan bawah gawang bagi memastikan gol keduanya dalam kesemua kejohanan musim ini.

Ia merupakan permulaan musim yang sukar buat pemain berusia 27 tahun itu, yang menerima pujian ketua jurulatih, Andrea Pirlo, selepas tamat perlawanan.

Kesepakatan Dybala di Turin akan tamat pada penghujung musim depan tetapi terdapat laporan mendakwa perbincangan mengenai kontrak barunya telah ditunda setahun gara-gara prestasi tidak tekal pemain kebangsaan Argentina itu selain beberapa siri kecederaannya.

Spekulasi itu, bagaimanapun, menimbulkan kekecewaan buat Dybala.

"Terlalu banyak perkara yang tidak betul telah diperkatakan mengenai kontrak saya," kata Dybala kepada Sky Italia.

"Ejen saya berada di Turin untuk masa yang panjang dan tidak pernah dipanggil oleh kelab ini. Ia mengecewakan saya untuk mendengar perbincangan mengenai angka kewangan yang dilaburkan.

"Ia pasti lebih baik sekiranya perkara sebenar dapat diperkatakan kerana bercakap mengenai aspek seperti itu dalam waktu seperti ini membuatkan penyokong membenci saya, dengan kesemua rasa cinta yang saya ada buat Juventus," katanya.

Gol Dybala itu merupakan jaringan Serie A pertamanya sejak 4 Julai lalu -- selepas 162 hari -- manakala enam daripada tujuh jaringannya ke atas Genoa diperoleh di gelanggang lawan.