Perak berharap dapat menurunkan penjaga gol utama, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, dalam pertemuan dengan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berdoa penjaga gawang nombor satunya itu akan dapat beraksi selepas direhatkan dua perlawanan akibat kecederaan lutut.

Hafizul tidak diturunkan ketika Perak menentang PKNP FC dalam suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak (22 Mei lalu) dan Melaka United (25 Mei lalu).

Berikutan itu, tempat Hafizul digantikan oleh Khairul Amri Salehuddin yang menyaksikan Perak menang 3-1 ke atas PKNP FC tetapi tumpas 2-3 kepada Melaka United.

Dalam perlawanan itu, harapan Perak untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata tidak menjadi kenyataan apabila Melaka menjaringkan gol kemenangan daripada bola yang muntah daripada tangkapan Amri pada minit ke-74.

"Hafizul penjaga gol utama Perak. Sudah tentu jika boleh, saya mahu dia beraksi ketika menentang PJ City," kata Durakovic.

Jurulatih itu berkata dia perlu menurunkan barisan terkuat bagi memastikan impian mengutip mata penuh tercapai kali ini.

Durakovic berharap pemain Perak tidak melakukan kesilapan yang menyaksikan mereka mensia-siakan peluang untuk memenangi perlawanan seperti yang berlaku dalam lapan perlawanan lalu.

"Kami kehilangan banyak mata gara-gara sedikit kesilapan yang menyebabkan pasukan berada di kedudukan kelapan setakat ini.

"Justeru, baki tujuh perlawanan perlu digunakan untuk mengutip sebanyak mata yang mungkin," katanya.