Kapten Juventus, Giorgio Chiellini, kesal kurangnya kesabaran yang ditunjukkan kepada Bianconeri berikutan permulaan perlahan mereka dalam Serie A di bawah pengurus baru, Massimiliano Allegri.

Selepas membuka kempen Serie A 2021-22 tanpa kemenangan dalam empat perlawanan, Juve akhirnya menemui rentak dengan mengalahkan Spezia 3-2 di pertengahan minggu ini untuk gergasi Itali itu keluar dari zon penyingkiran.

Juve hanya mengumpul lima mata daripada lima perlawanan di bawah kendalian Allegri yang kembali ke Turin untuk menggantikan Andrea Pirlo selepas dikecewakan Inter musim lalu.

Dalam tempoh peralihan tanpa Cristiano Ronaldo, pertahanan veteran Juve itu kemudian meratapi sikap tidak sabar yang dilemparkan terhadap mereka.

"Kami perlu menjaga kapal kapal ini agar kekal stabil di laut yang bergelora," kata pemain antarabangsa Itali itu kepada Sky Sport Italia menjelang perlawanan menentang Sampdoria, petang esok.

"Kami akan melihat apakah kami akan keluar sedikit daripada situasi buruk ini atau mula berlayar penuh, apapun kami pasti akan tiba di pelabuhan.

"Seperti segala hal, kami memerlukan waktu untuk mencari keseimbangan. Apabila ada kejutan besar sama ada ia memberi kesan seperti gempa bumi atau tidak, ia tetap memerlukan sedikit masa untuk mengatasinya dan bangkit semula.

"Sayangnya, di dunia sekarang tiada ada lagi kesabaran."





Juve sekadar meraih satu mata daripada dua perlawanan di tempat sendiri musim ini dan kali terakhir melakukannya tiga kali berturut-turut ialah awal musim 2015-16, juga ketika dikemudi Allegri.

Chiellini dan Juventus, yang telah melepaskan lapan gol dalam lima perlawanan liga musim ini, telah dibolosi dalam 19 aksi Serie A berturut-turut.

Rekod 1955 yang membabitkan 21 perlawanan kekal terburuk.

Kunjungan Sampdoria akan menjadi aksi ke-400 Allegri bertugas dalam Serie A -- pengurus Juve itu meraih 243 kemenangan, sekurang-kurangnya 59 lebih banyak daripada jurulatih lain sejak kemunculan pertamanya pada 2008-09.