WOLVES 2 ARSENAL 1

Mikel Arteta mempersoalkan kad merah ke atas David Luiz selepas pertahanan itu menjadi antara dua korban keputusan keras pengadil dalam kekalahan 1-2 di Wolves, awal pagi tadi.


Kelab London itu membuka tirai gol menerusi Nicolas Pepe, namun David Luiz menghadiahkan sepakan penalti buat lawan berikutan terjahannya ke atas Willian Jose.

Lebih parah lagi selepas meneliti video bantuan pengadil (VAR), pegawai perlawanan, Craig Pawson, memutuskan untuk melayangkan kad merah kepada pemain Brazil itu tetapi pengurus Arsenal tersebut menegaskan bahawa dia tidak melihat sebarang sentuhan selepas menilai rakaman ulangan kejadian berkenaan.

Ruben Neves mengambil kesempatan itu untuk mengikat kedudukan sebelum Joao Moutinho meletakkan tuan rumah di depan tidak lama selepas rehat, dan kebangkitan pelawat semakin kabur selepas penjaga gol, Bernd Leno, turut diberi perintah keluar padang gara-gara memegang bola di luar kawasannya.

Namun, bagi Arteta, hukuman ke atas David Luiz itu sesuatu yang mengecewakan terutama selepas pasukannya beraksi dengan baik sehingga detik penting perlawanan berkenaan.



"Pertama sekali, saya harus mengatakan bahawa saya bangga dengan pasukan saya, cara kami beraksi dan cara kami menguasai separuh masa pertama," katanya kepada media.

"Kami seharusnya mendahului 3-0 atau 4-0. Tetapi kami tidak melakukannya dan kami meletakkan diri sendiri di kedudukan yang sangat sukar berikutan gol yang dibolosi dan kehilangan seorang pemain.

"Saya telah melihat ulangan kejadian itu sebanyak 10 kali dalam lima sudut yang berbeza dan saya masih tidak dapat melihat sebarang sentuhan.

"Saya ingin tahu apakah VAR memaparkan sudut yang berbeza (daripada saya). Saya menjangkakan dapat mengesan sesuatu tetapi tidak melihat sebarang kekasaran.

"Kami benar-benar bersemangat dalam awal permainan kerana kami berhajat tinggi mencipta kemenangan. Anak buah saya begitu yakin untuk merealisasikannya.

"Kami tidak banyak memberi ruang tetapi Moutinho meledak gol menarik untuk menjadikan kedudukan 1-2. Kemudian, ketika Bernd meninggalkan kawasannya lalu menampan bola dengan tangannya, kami terpaksa beraksi sembilan orang jadi hampir mustahil untuk memenangi perlawanan ini."

Sejak mengemudi Arsenal dalam liga pada Ogos 2019, David Luiz telah mengutip tiga kad merah dan melepaskan enam sepakan penalti, lebih banyak berbanding pemain lain dalam kedua-dua kategori.

The Gunners telah mengutip sembilan kad merah EPL sejak Arteta memegang jawatan itu, enam lebih banyak daripada pencabar yang lain.