Pemain Chelsea, Mason Mount, meningkatkan jumlah gol yang dihasilkannya ketika pramusim kepada tiga gol dengan dua daripadanya sewaktu menewaskan Reading 4-3 dalam aksi persahabatan di Stadium Madejski semalam.

Dibawa masuk selepas rehat bersama sembilan lagi pemain, pemain tengah, Mount, menghasilkan dua gol dalam tempoh tiga minit untuk meletakkan The Blues mendahului 4-2.

Pemain berusia 20 tahun itu menghasilkan gol pertama pada minit ke-57 sebelum menyempurnakan peluang dari jarak dekat setelah Michy Batshuayi menafikan usaha penjaga gol, Sam Walker, mendapatkan bola dari belakang.

Chelsea terlebih dahulu memadamkan jaringan pembukaan daripada Josh Barrett untuk menjadikan kedudukan 2-1 hasil gol Ross Barkley dan Kenedy menerusi sepakan percuma cantik serta rembatan jarak jauh.

Michael Morrison menghukum kealpaan The Blues menerusi peluang terhidang daripada sepakan sudut, empat minit selepas aksi bersambung dan setelah dua gol dihasilkan Mount, Sam Baldock menjaringkan gol ketiga hasil larian deras melepasi benteng lawan.

Chelsea mengesahkan kemenangan ketiga di bawah bimbingan Frank Lampard meskipun timbul keraguan terhadap kualiti di bahagian pertahanan.

Aksi seterusnya menyaksikan mereka bakal menentang Red Bull Salzburg di Austria, Rabu ini.