MILAN 2 SPEZIA 1

Stefano Pioli mendedahkan pengadil telah memohon maaf selepas membatalkan gol Milan yang sah dalam kekalahan kepada Spezia, awal pagi tadi.


Rossoneri tewas mengejut 1-2 apabila Emmanuel Gyasi menjaringkan gol dalam tendangan terakhir dalam pertemuan penuh bergelora di San Siro itu.

Seteru rapat, Inter, pula seri 0-0 dengan Atalanta kelmarin tetapi Milan gagal mengambil kesempatan itu untuk merampas puncak Serie A.

Tuan rumah mendominasi separuh masa pertama dengan deretan peluang menarik di depan gawang dan sepatutnya mendahului menerusi Rafael Leao sejurus Theo Hernandez gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Situasi itu kembali menghantui mereka dalam babak kedua apabila Kevin Agudelo menyamakan kedudukan sebaik sejam permainan.







Milan kemudiannya berang apabila percubaan lewat Junior Messias dalam masa kecederaan dibatalkan selepas pengadil, Marco Serra, teragak-agak untuk meniupkan wisel ketika Ante Rebic dikasari sebelum itu.

Walaupun Serra menyedari kesilapannya, ia masih belum cukup untuk meredakan rasa tidak puas hari pemain Milan yang turut memiliki satu lagi peluang menarik apabila percubaan Zlatan Ibrahimovic terkena palang.

Tetapi Gyasi menambah perit mereka di tempat sendiri apabila merampas gol kemenangan pada saat-saat akhir perlawanan menerusi satu serangan balas.

Walaupun Pioli tidak menolak kekalahan mereka itu angkara kesilapan pengadil tersebut, dia juga mengakui bahawa anak buahnya tidak mengawal permainan dengan cukup baik.

“Saya cuba menenangkan pemain saya tetapi tidak berjaya seperti yang dibuktikan oleh jaringan Spezia,” katanya kepada DAZN.

“Kami tahu ia tidak bagus, kami juga harus dipersalahkan. Kami perlu berkongsi tanggungjawab ini dengan pengadil.

"Maaf kerana mengatakannya dan pengadil juga sempat meminta maaf, malah ia mungkin bukan satu kekasaran pun. Malangnya.

"Apa pun, kami sepatutnya menyumbat lebih banyak gol dalam separuh masa pertama. Ia adalah satu malam yang buruk dan kami harus bangkit."