Pemain yang kononnya menjadi sasaran Juventus dan Milan, Domenico Berardi, memeterai kontrak baru dengan Sassuolo yang akan mengekalkannya di kelab itu hingga 2027.

Berardi kembali mencuri perhatian bersama Sassuolo pada musim 2021-22 apabila menjaringkan 15 gol dalam Serie A -– kempen ketiga berturut-turut penyerang itu mencatatkan dua angka dalam liga.

Dia juga merekodkan bantuan jaringan terbanyak di Itali (14) dan merupakan satu-satunya penyerang Serie A yang mencapai dua angka untuk gol dan bantuan jaringan.

Pemain berusia 28 tahun itu setia di Sassuolo sepanjang kariernya tetapi laporan baru-baru ini mengatakan dia berminat untuk mencari cabaran baru.

Dia dikaitkan dengan Juventus, yang memilikinya bersama di antara 2013 dan 2015, manakala Liverpool dan Milan juga antara yang dilaporkan turut berhajat dengan sentuhan pemain antarabangsa Itali itu.



Bagaimanapun, dia mengumumkan telah menyambung masa depannya di kelab itu untuk lima tahun lagi.

Berardi menjadi tajuk utama minggu lalu selepas terlibat dalam pertengkaran panas dengan peminat Modena.

Sassuolo disingkirkan daripada Coppa Italia oleh tuan rumah daripada kancah Serie B itu di Stadio Alberto Braglia sebelum Berardi bertindak cuba menyerbu penyokong lawan di luar padang.

Rakaman itu menjadi tular tetapi Berardi menerusi media sosial menjelaskan keluarganya telah menjadi sasaran di luar padang dalam usaha membangkitkan kemarahannya.