Alphonso Davies sedia untuk melakukan kemunculan pertamanya bersama Bayern Munich dalam tempoh hampir empat bulan selepas mendapat kebenaran daripada doktor yang memantau jantungnya.

Bek kiri menyerang itu tidak tampil untuk Bayern sejak 17 Disember lalu selepas pada mulanya diuji positif COVID-19, kemudian diketepikan apabila pemeriksaan lanjut mengesan dia mengalami keradangan jantung yang ringan.

Davies, yang baru dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Lelaki CONCACAF, akan menuju ke Piala Dunia bersama Kanada akhir tahun ini selepas mereka layak buat kali pertama ke kejohanan di Qatar itu sejak 1986.

Dia dijangka memulakan pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang kelab Sepanyol, Villarreal, awal pagi esok.

Pengurus Bayern, Julian Nagelsmann, mengesahkan pemain berusia 21 tahun telah diberikan lampu hijau oleh doktor yang menangani masalah jantungnya untuk diturunkan.

"Phonzie akan berada dalam skuad dan keputusan perubatan bermakna dia telah dibenarkan untuk beraksi ," kata pengurus itu dalam sidang akhbar.

"Kami akan membuat keputusan sepanjang hari.

"Secara umumnya, saya cenderung untuk menempatkannya dalam kesebelasan utama."




Nagelsmann berkata dia berpuas hati dengan kelibat tujuh atau lapan pemain yang akan dipertaruhkan ketika berdepan Villarreal sambil pemain sayap, Serge Gnabry, mungkin menjadi pilihan utama berbanding Leroy Sane.

"Kami akan membuat sedikit rombakan tetapi tidak terlalu banyak. Kami sudah terbiasa dengan rentak perlawanan Sabtu-Rabu ini.

"Kami akan membuat penggiliran lagi ketika jumpa Augsburg (dalam Bundesliga Sabtu ini)," katanya lagi.