Diet makanan seimbang yang diterapkan ketua jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini, ternyata membuahkan hasil apabila pemainnya kini mempunyai kecergasan yang mencukupi untuk bangkit menewaskan PDRM FC 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Bolasepak Cheras semalam.

Paparan media sosial kelab itu mencuri tumpuan setelah mempamerkan makanan seimbang yang disediakan untuk pemain mereka.

Hasilnya, ada pemain yang dapat menurunkan berat badan sehingga 10 kilogram dan apa yang paling penting, mereka kini mempunyai stamina yang tinggi untuk mengharungi jadual padat musim ini

The Red Warriors ketinggalan pada minit ke-73 apabila Hidhir Idris menemui sasaran buat PDRM tetapi Shamil Mohd Ghani dan Jack Hindle kemudian menjaringkan gol yang memastikan tiga mata penuh buat pasukan kendalian Ragini itu.

Ragini berkata: "Kami cuba meyakinkan pemain bahawa kondisi pemakanan mereka amat penting.

"Kini, saya bersama jurulatih kecergasan kami sedang mencubanya dan ramai pemain kami sudah mula mengurangkan berat badan.

"Sebagai contoh, berat penjaga gol kami telah berkurangan sebanyak 10 atau sembilan kilogram," katanya.