LIVERPOOL 1 CRYSTAL PALACE 1

Satu malam yang berbeza buat dua pemain Liverpool dari Amerika Selatan apabila Darwin Nunez dilayangkan kad merah dalam penampilan pertamanya di laman sendiri manakala Luis Diaz pula menjaringkan gol gemilang untuk mengikat Crystal Palace 1-1 awal pagi tadi.

Malam mengecewakan buat pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ini bermula apabila Wilfried Zaha menjaringkan gol pembukaan pelawat selepas menerima unpanan Eberechi Eze pada minit ke-33.

Keadaan kemudian semakin getir buat The Reds, di mana pemain Uruguay, Nunez, dilayangkan kad merah oleh pengadil, Paul Tierney, kerana menanduk Joachim Andersen pada minit ke-57.

Bagaimanapun, keadaan di Anfield kembali bertukar ceria apabila Diaz melakukan gelecekan yang menewaskan beberapa pertahanan Palace sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol, Vicente Guiata, pada minit ke-61.

Tuan rumah kemudian lebih galak memburu gol kemenangan biarpun kekurangan seorang pemain tetapi Palace juga memiliki peluang terhidang yang disia-siakan Zaha untuk kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan satu mata.

Ia menjadi permulaan musim yang agak perlahan buat Liverpool selepas turut seri 2-2 dengan Fulham dalam perlawanan pertama.