Johor Darul Ta’zim (JDT) digemparkan dengan kehilangan penyerangnya, Jorge Pereyra Diaz, yang meninggalkan pasukan pada tengah malam kelmarin sebelum skuad itu berlepas ke Vietnam untuk perlawanan menentang Song Lam Nghe An FC dalam Piala AFC, esok.

Berita itu disampaikan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, yang mengesahkan Diaz telah meninggalkan hotel penginapan pasukan di Singapura dan telah menyampaikan niatnya mahu meninggalkan kelab berkenaan.

Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu bertindak meninggalkan kelab itu.

"Kami ingin memaklumkan kepada para penyokong bahawa pemain kami, Jorge Pereyra Diaz, telah meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12.00 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.

"Ejen beliau telah menghubungi kami dan memberitahu tentang niat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab.

"Kelab telah membuat keputusan untuk menghormati keputusan tersebut dan membiarkan beliau pergi.

"Kami akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

JDT sebelum ini sudah kehilangan jurulatih, Ulisses Morais, yang mengumumkan peletakan jawatannya selepas sembilan bulan membimbing pasukan itu sejak Jun lalu atas faktor kesihatan keluarga.