AC Milan menandatangani semula Brahim Diaz secara pinjaman selama dua tahun daripada Real Madrid.

Rossoneri mengumumkan bahawa pemain Sepanyol berusia 21 tahun itu akan terikat bersama kelab Serie A berkenaan sehingga 30 Jun 2023 dan akan memakai jersi nombor 10.

Diaz menghabiskan musim lalu di San Siro, di mana dia menjaringkan empat gol dan menghasilkan tiga bantuan jaringan daripada 27 perlawanan Serie A -- 17 daripadanya berakhir dengan kemenangan buat skuad Stefano Pioli itu.

Bekas pemain Manchester City itu, yang menyertai Real Madrid daripada pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan pada Januari 2019, menghasilkan 26 percubaan buat Milan dengan kadar menjaringkan gol sebanyak 15.38.

"Gembira untuk kembali. Terima kasih semua atas rasa kasih sayang yang saya terima," tulisnya ringkas dalam satu ciapan Twitter.