ATHLETIC BILBAO 1 BARCELONA 1

Jaringan pertama Memphis Depay bersama Barcelona memastikan pasukan kendalian Ronald Koeman itu mengikat Athletic Bilbao 1-1 dalam perlawanan LaLiga di San Mames awal pagi tadi.

Barca memulakan era tanpa Lionel Messi -- yang menyertai Paris Saint-Germain (PSG) awal bulan ini -- dengan kemenangan 4-2 ke aas Real Sociedad hujung minggu lalu tetapi mereka jelas kehilangan rentak ketika berdepan lawan kendalian Marcelino itu.

Pasukan tuan rumah itu menghasilkan tujuh percubaan ke atas kubu Barca dalam babak pertama dan layak berada di depan selepas lima minit perlawanan separuh masa kedua, di mana Inigo Martinez menanduk sepakan penjuru Iker Muniain untuk menewaskan penjaga gol, Neto.

Bekas penyerang Lyon, Depay, muncul penyelamat maruah pasukan barunya pada 15 minit terakhir menerusi rembatan kencang dari sudut sukar untuk memastikan pungutan satu mata buat skuad Koeman itu.

Eric Garcia kemudian dibuang padang dalam waktu kecederaan gara-gara menjatuhkan Nico Williams, sekali gus Blaugrana keciciran mata buat kali pertama musim ini.