Bekas penyerang Tottenham dan England, Jermain Defoe, mengesahkan persaraannya pada usia 39 tahun.

Penyerang Sunderland itu, yang menghabiskan kariernya bersama Spurs dalam tiga penggal berbeza, turut pernah mewakili West Ham, Portsmouth, Toronto FC, Bournemouth dan Rangers sepanjang kariernya selama lebih dua dekad.

Defoe sepatutnya beraksi hingga penghujung musim ini selepas menyertai semula kelab Liga Satu itu daripada Rangers pada Januari lalu sebelum dia mengubah perrancangannya dan mengumumkan untuk menggantung but dalam satu kenyataan panjang lebar yang disiarkan di media sosial.

"Selepas 22 tahun dalam bidang ini, saya memutuskan untuk bersara daripada bola sepak profesional," katanya.

"Ia adalah satu keputusan yang sangat sukar dan saya telah bincangkan dengan keluarga dan mereka yang paling rapat dengan saya.

"Saya membuat penampilan sulung profesional ketika berumur 17 tahun iaitu pada 1999 dan saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk menyerah kalah. Saya telah melalui perjalanan yang luar biasa dan sempat bertemu dengan beberapa pemain yang hebat."

Defoe menambah koleksi trofi kedua dalam kariernya apabila membantu Rangers merangkul gelaran Liga Perdana Scotland di bawah bimbingan bekas rakan sepasukan England, Steven Gerrard, tahun lalu.