Penjaga gol England, Dean Henderson, bertindak berani terhadap kelab induknya, Manchester United, apabila mengakui bahawa dia sempat mengelak latihannya dipantau Erik ten Hag kerana bimbang pengurus Belanda itu berhasrat mengekalkannya.

Henderson baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan Nottingham Forest yang baru dinaikkan pangkat untuk pinjaman sepanjang musim selepas hanya membuat lima penampilan pada musim 2021-22.

Bercakap kepada talkSPORT, pemain berusia 25 tahun itu berkata bahawa dia sangat gembira berkesempatan meninggalkan Old Trafford selepas kecewa peranan sebagai pemain nombor satu di kelab berkenaan seperti yang dijanjikan sebelum dia dijangkiti COVID-19 musim lalu gagal ditepati.

"Sejujurnya, ia mungkin 12 bulan paling sukar dalam kerjaya saya," katanya.

"Saya sangat gembira kerana telah mengatasinya sekarang dan saya teruja untuk berada di sini dan bersedia untuk diturunkan.

"Perbualan saya (dengan United selepas Euro 2020) ialah 'anda datang ke sini untuk menjadi penjaga gol nombor satu'. Saya dijangkiti COVID-19 kemudian kembali, jadi saya sepatutnya masih menjadi nombor satu, tetapi malangnya tiada siapa yang mematuhinya.

"Ia juga sangat mengecewakan kerana saya menolak begitu banyak tawaran pinjaman yang menarik pada musim panas lalu dan atas sebab itu, mereka tidak mahu melepaskan saya jadi ia mengecewakan. Untuk duduk di bangku simpanan dan membuang masa selama 12 bulan adalah satu jenayah pada usia saya, saya berang.

"Tetapi saya bekerja keras di luar padang dan ketika sesi latihan untuk terus meningkat setiap hari, jadi saya sangat teruja untuk kembali ke sini dan menantikan cabaran musim ini bersama Forest."



Henderson telah bersama The Red Devils sejak usia 14 tahun dan mempunyai 49 penampilan dalam liga utama tetapi mendapati dirinya sekadar menjadi pelapis kepada David de Gea.

Selepas menyerlah ketika dipinjamkan ke Sheffield United untuk meraih pengiktirafan antarabangsa bersama England dalam kempen 2019-20 yang mengagumkan, Henderson berharap dapat mengukuhkan kedudukan dan tekad berpindah sambil mendedahkan dia sengaja mengelak diperhatikan Ten Hag ketika berlatih.

"Saya sebenarnya tidak mahu pengurus datang dan memantau saya dalam latihan kerana saya tahu dia mungkin ingin mengekalkan saya. Saya sempat memberitahu pihak pengurusan bahawa saya perlu berhijrah dan beraksi, saya tidak mahu berada di sini sebagai pelapis," katanya lagi.

"Saya menghilangkan diri sebelum pengurus melangkah masuk dan sejak itu saya tidak bercakap dengannya."

Henderson bersedia untuk membuat penampilan sulungnya bersama Forest apabila mereka memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di Newcastle United, Sabtu ini.