David de Gea amat teruja untuk bekerjasama dengan Erik Ten Hag selepas jurulatih berbangsa Belanda itu sah diumumkan sebagai pengurus baru Manchester United malam tadi.

Ten Hag akan tiba daripada Ajax pada penghujung musim ini untuk mengambil alih tugas pengurus interim, Ralf Rangnick, dengan kontrak selama tiga tahun dan pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi.

Jurulatih berusia 52 tahun itu kini menghampiri gelaran Eridivisie ketiganya bersama Ajax dan terkenal dengan taktikal penguasaan bola.

Dia membimbing Ajax ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2018-19 dan memenangi dua gelaran KNVB Bekes walaupun gagal memperoleh yang ketiga selepas tewas 1-2 kepada PSV dalam aksi final hujung minggu lalu.

De Gea gembira untuk akhirnya mendapat pengesahan menganai identiti pengurus baru United dan berharap mereka kini dapat fokus dalam pemburuan penamat empat teratas musim ini.

"Saya amat teruja apabila kelab ini telah membuat keputusan, jadi kita dapat mengetahuinya," katanya dalam laman web rasmi United.

"Kita tahu apa yang telah dilakukannya bersama Ajax, dia hampir layak ke final UCL, dia memenangi gelaran dan membangunkan pemain, jadi saya amat teruja.

"Saya fikir dia memiliki gaya bola sepak yang amat baik. Kini kami perlu fokus kepada baki perlawanan tetapi kami amat teruja untuk mengetahui siapa yang akan tiba. Tetapi kini, ayuh fokus kepada perlawanan menentang Arsenal dan berjuang sehingga ke akhirnya untuk berada di kedudukan empat teratas.

"Amat bagus apabila mengetahuinya dan sudah pasti dia sudah melihat perlawanan kami dan berfikir mengenai bagaimana dia boleh meningkatkan kami. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya," katanya.

United akan berdepan Arsenal bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates malam esok.