Kevin De Bruyne akan terlepas tiga perlawanan bersama Manchester City selepas diuji positif koronavirus.

Pengurus City, Pep Guardiola, mengesahkan bahawa De Bruyne perlu menjalani pengasingan selama 10 hari selepas dijangkiti virus berkenaan.

Ia bermakna pemain itu tidak dapat beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton esok sebelum aksi blokbuster Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan Paris Saint-Germain (PSG) pada awal pagi Khamis dan aksi liga bertemu West Ham hujung minggu depan.

"Kevin diuji positif Covid jadi dia perlu diasingkan selama 10 hari," kata Guardiola dalam sidang media.

"Kita perlu berhati-hati, ramai yang meninggal dunia kerana Covid.

"Dia sudah lengkap vaksinasi, jadi harap-harap dia baik-baik sahaja.

"Kini, dia perlu pulih dengan sebaiknya. Kemanusiaan lebih penting daripada perkara-perkara lain," katanya.

Ketiadaan De Bruyne sudah pasti akan menjejaskan bahagian tengah skuad Guardiola, yang turut kehilangan Jack Grealish dan Phil Foden selepas dua pemain itu mengalami kecederaan ketika menjalankan tugasan antarabangsa bersama England.

Guardiola menjangkakan Grealish tidak sempat cergas untuk bertemu Everton dan tidak pasti sama ada Foden dapat diturunkan dalam perlawanan itu atau tidak.

"Jack semakin pulih selepas pulang daripada skuad kebangsaannya.

"Phil Foden mengalami kecderaan di kakinya, tetapi dia juga semakin baik.

"Jack, saya tidak rasa dia dapat diturunkan. Kita akan lihat keadaan Phil," katanya lagi.