Kapten Pahang, Matthew Davies, menjadikan kejayaan menundukkan Terengganu dalam aksi Liga Super di Kuantan, Februari lalu, sebagai modal buat pasukannya selepas skuad Tok Gajah itu kehilangan beberapa pemain utama untuk mengharungi suku akhir pertama Piala FA, malam ini.

Pahang akan bertandang ke Kuala Terengganu tanpa kelibat dua tonggak import, Dickson Nwakaeme dan Safuwan Baharudin.

Tatkala Nwakaeme dihimpit kecederaan paha, Safuwan pula masih belum pulih daripada kecederaan buku lali.

Situasi itu tampak menyukarkan peluang Pahang untuk memburu bekalan selesa, namun Davies masih percaya terhadap kemampuan pasukannya untuk melunaskan misi itu berbekalkan motivasi kemenangan 3-0 ke atas lawan berkenaan sebelum ini.

"Saya berasakan kami boleh mengambil sedikit keyakinan selepas menewaskan Terengganu dalam perlawanan sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya berasakan mereka telah banyak meningkat sejak pertemuan terakhir itu.

"Ia tidak pernah mudah untuk bermain di sini (Kuala Terengganu) dan kami menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Namun, kami berkeyakinan untuk menyudahkan tugasan di sini," katanya.

Penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, akan digandingkan dengan Ze Love bagi merobek gawang Terengganu.

Sememangnya gol di laman lawan amat penting buat skuad bimbingan Dollah Salleh itu menjelang aksi timbal balik di Kuantan, 10 Mei ini.

"Saya tidak boleh mengatakan yang kami tidak akan terkesan dengan kehilangannya (Nwakaeme).

"Namun, dia sudah tidak beraksi dalam empat atau lima perlawanan musim ini dan kami masih mampu untuk meraih kemenangan.

"Kami mempunyai pemain yang baik di bangku simpanan dan mereka dapat beraksi baik ketika diturunkan.

"Ia akan memberikan kesan, namun kami memiliki pemain berkualiti untuk meraih kemenangan tanpanya," tambahnya.