Biarpun hanya dilantik untuk mengemudi skuad Piala Belia, bekas pengendali skuad Liga Super Sarawak, David Usop, tidak ralat.

Beliau sebaliknya bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

"Peranan saya besar sebenarnya. Selain menggali bakat-bakat baru, saya juga bertanggungjawab mencipta kejayaan untuk pasukan ini.

"Tahun lalu, Safri Amit telah membentuk pasukan ini dengan baik. Malah, mereka hanya ketinggalan satu mata untuk layak ke peringkat suku akhir bagi aksi kalah mati piala ini.

"Justeru, cabaran saya pada tahun ini adalah berat... untuk melangkah lebih jauh daripada itu," ujarnya.

Kata David, beliau akan menggunakan sepenuh kudrat dan pengalaman untuk membolehkan anak-anak buahnya mengharungi sekurang-kurangnya peringkat kalah mati.

"Malah, saya berazam untuk menyediakan pemain-pemain bawah 19 tahun ini agar dapat terus diserapkan ke pasukan senior.

"Dengan kemampuan beraksi untuk pasukan senior, jangka hayat mereka untuk beraksi mewakili pasukan negeri lebih panjang," katanya lagi.

David dikenali kerana berani mengemukakan pemain muda dalam kesebelasan utamanya, antaranya Tommy Mawat Bada, Nur Shahmie Iszuan, Shreen Tambi dan Rodney Calvin.

Kesemua pemain muda ini kini disunting pasukan lain dengan Tommy, Shahmie dan Shreen bersama PJ Rangers manakala Rodney dimiliki PKNS FC.