Tiga mata, itu yang ditagih oleh David Usop daripada anak-anak buahnya menjelang aksi Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Negeri, malam esok.

Begitu, David mengerti bahawa pasukan gergasi merah itu bukan lawan yang mudah untuk dijinakkan.

"Mereka memiliki pemain import baharu, Rufino Segovia dari Sepanyol, yang perlu dikawal ketat selain Francis Forkey Doe dan Andik Vermansyah yang lincah.

"Malah, ketajaman dua penyerang tempatan, Amri Yahyah dan Syahmi Safari, juga seharusnya merisaukan kami, terutama selepas aksi mereka membenam T-Team 4-2 di Stadium Selayang dalam aksi Liga Super serta mengikat Terengganu 1-1 dalam perlawanan sulung Piala Malaysia," katanya.

David berkata lebih memeritkan, dua aksi "berat" -- beraksi dalam hujan menentang The Red Warrior dalam Liga Super di Kelantan dan menentang JDT ketika aksi Piala Malaysia di Larkin, telah menyebabkan pemain-pemainnya keletihan.

"Tiga pemain utama kami, Milos Raickovic, Demerson Bruno Costa dan Hairol Mokhtar, berhadapan masalah otot.

"Situasi ini menyebabkan saya terpaksa menunggu sehingga saat-saat akhir untuk menentukan sama ada mereka dapat diturunkan," jelasnya.

Kata David, dalam menghadapi lambakan pemain berpengalaman P. Maniam itu, anak-anak buahnya perlu berjiwa kental dan tidak patah semangat.

"Mental harus kuat dan saya berharap mereka dapat mengulangi persembahan menarik di Kelantan," tambahnya.

Ditanya tentang strategi yang akan diguna pakai menjelang 48 jam akhir sebelum pertemuan itu, David berkata percaturan hanya dapat ditentukan setelah meneliti baki pemain yang dapat diturunkan.

"Apa jua strategi yang dirangka, yang penting adalah keputusan. Yang penting adalah jaringan gol.

"Sekarang bukan masanya untuk mencipta peluang tetapi seperti yang dituntut semua pihak, adalah untuk memastikan gawang lawan bergegar," katanya lagi.

Dalam pertemuan Liga Super, Selangor menewaskan Sarawak 2-1 dalam aksi pusingan pertama sebelum terikat 1-1 ketika aksi sebelum Ramadan lalu.

Dalam kedudukan Kkumpulan D, Sarawak menduduki tangga terbawah tanpa mata manakala Selangor di tangga kedua setelah mengutip satu mata bersama Terengganu.