Penyerang Terengganu, Darren Lok, sedia mengetepikan peluang beraksi di pentas Asia demi mengejar lebih banyak minit perlawanan, seperti yang dijanjikan majikan barunya, PJ City FC.

Darren bawa haluan ke PJ City selepas lebih banyak memanaskan bangku simpanan di Terengganu, dengan hanya empat penampilan semula bersama skuad Peteh musim ini.

"Saya menikmati waktu di Terengganu namun waktu bermain di sana agak terhad. Saya berharap ia akan berubah di sini dan saya sentiasa akan berusaha untuk mencabar bagi mendapatkan tempat," katanya.

Selain Darren, PJ City juga turut mengumumkan pemain Perak, Ahmad Khairil Annuar, serta dua pemain Felda, Faiz Mazlan dan Syahmi Zamri menyertai pasukan itu untuk musim depan.

Tugas berat untuk jurulatih, P. Maniam, untuk menajamkan kembali sentuhan Darren dan Beto yang banyak memanaskan bangku simpanan bersama pasukan terdahulu.

PJ City kini hanya tinggal 10 peratus lagi untuk melengkapkan senarai penuh pemain, dengan tumpuan Maniam kini mencari seorang lagi pemain penyerang dan tengah.

"Sebagai jurulatih saya akan sentiasa membantu mereka untuk mencapai tahap terbaik namun setiap pemain harus memastikan diri mereka di tahap terbaik," kata Maniam.

Sementara itu, Terengganu sudah menemui semua pengganti kepada lima pemain import yang tidak dikekalkan pasukan itu.

Difahamkan, tiga daripada lima pemain baru itu ialah Makan Konate dan David Da Sylva yang sebelum ini beraksi bersama Persebaya Surabaya serta bekas pemain Sabah, Petrus Shitembi.

Perkhabaran mengenai Konate mencuri tumpuan memandangkan penyerang dari Mali itu pernah beraksi bersama T-Team pada musim 2016 dan 2017.

"Faktor pernah bermain bersama pasukan dan dari Liga Indonesia yang masih belum boleh dijalankan telah dikaitkan dengan pasukan. Kami secara rasmi telah menawarkan kontrak untuk beberapa pemain dan kami akan mengumumkan nama mereka dalam masa terdekat," kata Penolong Pengurus Terengganu Joe Rozi.