Bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) tiada ruang buat individu yang lemah semangat – seperti yang harus didapati oleh Antonio Conte selepas berakhir saingan musim 2021/22 ini.

Sama ada Tottenham Hotspur kendaliannya akan berkesudahan dalam kelompok lima teratas untuk mara ke saingan Eropah – atau lebih baik lagi di tangga keempat untuk bergelar antara pasukan elit – ia diakuinya sesuatu yang tidak masuk akal hanya kira-kira lima bulan lalu.

Sejurus diumum awal November lalu menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat, Conte, 52, berkata ia harus satu gurauan jika ada sesiapa yang memberitahunya Spurs berkemungkinan layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Ketika itu, The Lilywhites sedang bergelut gara-gara prestasi permulaan musim yang hambar, dengan ketibaan Conte dituntut mengubah sama sekali mentaliti sebuah skuad yang rata-rata di bawah potensi sebenar mereka.

Sambil bekas pengurus Inter Milan itu – yang sebelumnya diura-urakan ke Manchester United di tempat Ole Gunnar Solskjaer – berupaya meningkatkan sedikit prestasi Spurs pada awalnya, namun barisannya tidak mampu terus konsisten hingga menempa beberapa keputusan mengecewakan.



Sedikit demi sedikit falsafah Conte diterjemahkan pasukan untuk mendaki dalam carta liga dan kemudiannya mengatasi Arsenal dan United dalam perebutan kelompok empat teratas liga.

Kini, mereka hanya perlukan satu mata daripada kunjungan ke Norwich malam ini bagi mengesahkannya, sekali gus menafikan Arsenal yang akan turun selaku tuan rumah kepada Everton di The Emirates.

“(Pengerusi kelab) Daniel (Levy) tidak menetapkan sebarang sasaran. Jika ketika itu dia mengatakan mahu ke UCL, saya akan tanya: ‘Adakah anda berjenaka?’

“Tapi dia juga sedar saya sentiasa seorang yang bercita-cita besar… bahawa saya akan berusaha dalam sebarang situasi untuk memacu pasukan ke kelompok teratas,” katanya seperti dilaporkan The Daily Mail.

Sebelum memulakan tugasnya bersama Spurs, Conte sudah pun memiliki reputasi besar sebagai pemenang deretan trofi.



Di sebalik mereka tidak memenangi sebarang trofi musim ini, dia berupaya meningkatkan prestasi pemain-pemainnya selain membina keakraban dengan penyokong.

Kelab juga menuruti kemahuannya pada jendela perpindahan Januari lalu dengan menambah Dejan Kulusevski dan Rodrigo Bentancur di bahagian sayap sambil melepaskan Tanguy Ndombele, Dele Alli dan Giovani Lo Celso.

Conte tetap berterima kasih kepada Levy kerana mempercayainya dengan mendatangkan rekrut baru berkenaan di samping gembira bersama Tottenham yang meluangkan untuknya mentransformasi pasukan dengan cara yang dia mahu.

“Kami harus berasa bangga.

“Kelab percayakan cakap-cakap saya dalam situasi di mana kami harus berusaha menjadi lebih baik.. mungkin dalam tidak terlalu banyak perkara tapi perkara-perkara yang tepat.

“Tapi saya juga harus tahu bahawa tidak mudah untuk kelab membuat jurulatihnya gembira – ia sangat, sangat sukar.

“Ia perkara yang betul dan kini masanya untuk membalas kepercayaan kelab, kepercayaan pemain-pemain, kepercayaan penyokong. Tapi ada satu lagi langkah untuk berasa sangat, sangat gembira,” katanya lagi.

Kemenangan di Carrow Road malam ini akan menjadi langkah besar ke arah itu.