Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, yakin penyerangnya, Dominique Da Sylva, mampu menyerlah dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketiadaan pengalaman beraksi di Malaysia tidak akan menjadi alasan kepada pemain Mauritania itu untuk mempamerkan sentuhan pemusnah bersama TFC.

Nafuzi juga menyifatkan Da Sylva, 30, kian serasi dengan corak permainannya selain berusaha membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan.

"Jika dilihat tahap kecergasan dan rentak permainannya semakin meningkat meskipun masih dalam proses menyesuaikan diri.

"Saya optimis bukan saja Da Sylva tetapi pemain-pemain yang saya ambil mampu memberikan sesuatu," katanya selepas mengalahkan Kelantan United 2-1 dalam satu aksi persahabatan malam tadi.

Bek kiri TFC, Arif Fadzilah Abu Bakar, terlebih dahulu mencuri tumpuan dengan jaringan pembukaan hasil rembatan jarak jauh pada awal babak pertama.

Da Sylva kemudian melebarkan kedudukan selepas waktu rehat apabila menerima umpanan Sanjar Shaakhmedov untuk meneruskan rentak jaringannya dalam aksi persahabatan.

"Majoriti pemain utama saya baru sahaja tiba, antaranya Shaakhmedov, Faris (Ramli) dan (Lee) Tuck manakala Faiz (Nasir) dan Shahrin (Sapien) pula cedera.

"Semua pemain perlu bekerja lebih keras sebelum sepak mula Liga Super dan selepas ini, kami ada beberapa perlawanan ujian lagi," ujarnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)



Editor: Muzaffar Musa