Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon perlu lebih teliti dan selektif apabila merekrut pemain-pemain untuk mengelak aksi hambar ketika tewas kepada Oman dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 kembali berulang.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, Pan-gon perlu melihat prestasi semasa setiap pemain dan bukan hanya memanggil pemain yang sudah biasa beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Menurutnya, elemen minit permainan dan prestasi tinggi dalam liga perlu diberikan keutamaan bagi menghadapi perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada Jun.

“Untuk baki dua perlawanan akan datang, prestasi semasa dan minit permainan dalam liga perlu diambil kira untuk dipanggil mewakili negara dalam dua perlawanan terakhir ini.

“Tidak boleh sambil lewa lagi dan kalau ada pemain naturalisasi atau warisan yang tak menyerlah, tak payah panggillah.

“Lebih baik beri peluang kepada pemain tempatan yang memang menyerlah ketika aksi liga dan mereka akan dapat peluang sama rata untuk menunjukkan kemampuan,” katanya.

Dua kekalahan itu menyaksikan Malaysia pada kedudukan ketiga Kumpulan D, tiga mata di belakang Oman dan Kyrgyzstan yang memimpin kumpulan.

Kekalahan itu turut mendedahkan kelemahan skuad negara termasuk impak pemain naturalisasi dan warisan yang dilihat gagal menyerlah bagi membantu pasukan negara.

Pemain Warisan, Brendan Gan, Stuart Wilkin, Darren Lok, Dion Cools, Corbin Ong dan Daniel Ting, selain Romel Morales, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos sebagai pemain naturalisasi yang membentuk skuad negara ketika ini.

Harimau Malaya bakal mengharungi tugas getir pada Jun apabila perlu menang dua aksi terakhir menentang Kyrgyzstan dan Oman untuk mara ke pusingan seterusnya.

Sulaiman berkata, tindakan memanggil muka baharu akan memastikan pemain-pemain tersebut sentiasa bersemangat untuk cuba menembusi pasukan kebangsaan.

“Jika Pan-gon memanggil pemain baharu, mereka tahu kalau mereka bermain dengan baik akan dipilih untuk bermain bersama negara.

“Ia akan menjadikan saingan yang baik dan sengit kepada pemain sedia ada dalam Harimau Malaya,” katanya.-Sinar