Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, tidak mempedulikan kebimbangan Nigeria dan Argentina apabila dia sedia merehatkan pemain utama bagi mengahadapi Iceland dalam perlawanan terakhir Kumpulan D, Piala Dunia di Rostov Arena, awal pagi nanti.

Selepas mengalahkan Super Eagles 2-0 dan La Albiceleste 3-0 bagi memastikan laluan ke pusingan 16, Dalic mengumumkan hasratnya untuk meninggalkan enam pemain yang berisiko menerima penggantungan kad kuning, termasuk Ivan Rakitic dan Mario Mandzukic.

Ketika bos Iceland, Heimir Hallgrimsson, mendakwa keputusan Dalic merehatkan pemain bintang akan merangsang motivasi untuk membuktikan kemampuan mereka, ia menimbulkan rasa tidak senang dua pasukan lain yang berjuang untuk mara ke peringkat kalah mati.

Bagaimanapun, Dalic tidak berminat terhadap nasib jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli, atau pengendali Nigeria, Gernot Rohr.

"Kami membuat persiapan dengan cara yang sama seperti kami lakukan untuk dua perlawanan pertama," katanya dalam sidang akhbar di Rostov Arena.

"Kami datang ke sini untuk menang. Saya tidak peduli apa yang dikatakan oleh pasukan lain. Kami buat hal kami sendiri. Apa yang diulas pihak lain, itu urusan mereka."

Pemain tengah Croatia Milan Badelj menambah: "Bagaimana jika kita duduk dalam situasi orang lain.

"Semua pasukan melihat ke depan dan mahu berada dalam situasi sebelum perlawanan. Terserah kepada jurulatih kami bagi menyediakan pasukan terbaik untuk kelebihan kami."

Croatia dikatakan sebagai pasukan terbaik setakat ini selepas meraih enam mata tanpa sebarang bolos daripada dua perlawanan untuk mendahului Kumpulan D.

Sementara itu, Nigeria (tiga mata) kini berada di tangga kedua, mengatasi Argentina dan Iceland yang masing-masing mengumpul satu mata.