Cristiano Ronaldo berasakan bahawa dia dikhianati oleh tokoh senior di Manchester United selain tidak menghormati pengurus kelab, Erik ten Hag, untuk mengharungi musim bergelora di Old Trafford ketika ini.

Ronaldo, yang merupakan penjaring terbanyak buat The Red Devils dengan 24 gol musim lalu, dilaporkan sempat meminta untuk meninggalkan kelab itu berikutan kegagalan mereka melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL), lantas pemain berusia 37 tahun tersebut kurang dipedulikan oleh Ten Hag.

Ronaldo disisihkan sementara daripada aktiviti pasukan utama bulan lalu selepas keengganan dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-0 ke atas Tottenham, dan dia hanya melakar satu gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Sebelum menyertai Portugal ke Qatar untuk penampilan Piala Dunia kelimanya dan mungkin terakhir, Ronaldo percaya bahawa tokoh senior di Old Trafford termasuk Ten Hag ingin menyingkirkannya.





Ditanya sama ada dia berasakan seperti dihalau daripada Old Trafford, Ronaldo dalam rancangan Piers Morgan Uncensored menjelaskan: "Ya, bukan sahaja jurulatih, malah dua atau tiga lagi individu di kelab ini yang saya rasa telah mengkhianati saya.

"Saya tidak sepatutnya mengatakan bahawa (mereka cuba menyisihkan saya), saya tidak pasti tetapi ya, saya rasa dikhianati. Saya berasakan sesetengah orang tidak mahu saya di sini, bukan sahaja tahun ini tetapi tahun lepas juga."

Ten Hag lebih gemar memberikan peluang kepada pemain seperti Marcus Rashford, Anthony Martial dan Anthony Elanga di jentera serangan United musim ini dan hanya memulakan Ronaldo dalam empat perlawanan EPL.

Bulan lalu, Ten Hag berkata dia memilih untuk tidak mempertaruhkan Ronaldo dalam kekalahan 3-6 kepada seteru Manchester City kerana faktor hormat, manakala penyerang Portugal itu mempamerkan reaksi jengkel dengan keputusan pengurus berbangsa Belanda berkenaan bertindak menggantikannya ketika menentang Newcastle United, dua minggu kemudian.




Ditanya mengenai hubungannya dengan Ten Hag, Ronaldo menambah: "Saya tidak menghormatinya kerana dia tidak menunjukkan rasa hormat terhadap saya.

"Jika anda tidak menghormati saya, saya tidak akan menghormati anda."