Liga Australia (A-Legaue) sedang berusaha untuk membawa Cristiano Ronaldo ke saingan itu selepas karier pemain bintang berkenaan bersama Manchester United kelihatan sudah ke penghujung.

Kapten Portugal itu, yang kembali ke pangkuan United awal musim lalu, hampir pasti akan menamatkan tempoh keduanya di Old Trafford setelah mengeluarkan kenyataan hangat dalam satu wawancara bersama Piers Morgan dalam Talk TV.

Ronaldo mengkritik pengurus The Red Devils, Erik ten Hag, dan pemilik kelab itu, Keluarga Glazer, selain turut mendakwa barisan pemain senior kelab itu berusaha untuk menyingkirkannya walaupun terdapat laporan bahawa dia telahpun berusaha untuk meninggalkan kelab berkenaan sebelum permulaan musim ini.

Pemain berusia 37 tahun itu kini sedang menumpukan kepada Piala Dunia Qatar di sebalik ketidaktentuan masa depannya di peringkat kelab.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Profesional Australia, Danny Townsend, mendedahkan bahawa pihaknya sudah menghubungi wakil Ronaldo, Jorge Mendes, dalam usahanya membawa pemain itu ke Australia.

Bekas pemain kebangsaan Portugal dan United, Nani, kini sedang mewakili Melbourne Victory di Australia tetapi Townsend berkata pihaknya tidak mencuba untuk mendapatkan bantuan pemain sayap itu bagi memujuk Ronaldo ke A-League.

"Kami masih belum menghubungi Nani tetapi kami sudah memaklumkan minat kami untuk membawa Ronaldo ke Australia." katanya kepada SportFM.

"Sudah pasti ia usaha yang sukar tetapi kami mempunyai tawaran di sini untuk dia memikirkannya. Kami sedang berbincang dan kita akan lihat ke mana haluannya."

Sebagai rekod, datuk dan nenek Ronaldo kini sedang menetap di Australia dan Townsend berasakan faktor itu mungkin akan menarik pemain itu ke A-League.