Kuala Lumpur City boleh menarik nafas lega apabila gelanggang keramat mereka di Cheras tidak termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Lokaliti.

Situasi ini kembali memudahkan skuad kendalian Bojan Hodak itu selepas berkampung di Seremban hampir seminggu.





Ia dijelaskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, sekali gus membawa berita baik buat kelab Liga Perdana, PDRM, yang turut menggunakan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebagai venue mereka.

"Stadium Cheras tidak termasuk dalam PKPD Lokaliti yang ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara), kami telah mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa.

"Ini bermakna Kuala Lumpur City dan PDRM boleh menggunakan stadium tersebut.

"Cuma menjadi masalah sekarang ini ialah di peringkat Petaling Jaya City, Selangor, Selangor II dan UiTM," katanya dalam temu bual maya hari ini.





Dua perlawanan tertunda yang melibatkan Perak II bertemu Kelantan serta Selangor II berdepan Sarawak United bakal dijalankan pada 17 Julai depan.

"Kedua-dua perlawanan ini akan diadakan lebih awal daripada jadual permulaan liga (24 dan 25 Julai ini).

"Tapi ia bergantung kepada keadaan semasa."