Penundaan Piala Malaysia antara perkara yang akan diperhalusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berikutan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Ia cara terakhir yang akan dipertimbangkan penganjur Liga Malaysia (Liga-M) itu dan badan induk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya wabak Covid-19 terus merebak.

Ia mungkin situasi yang sukar tetapi MFL dan FAM tiada pilihan seandainya saingan Piala Malaysia terpaksa menjadi korban musim ini.

Pada masa sama, MFL sudah mengenal pasti tiga tarikh untuk memulakan perlawanan pertama Piala FA musim ini.

Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada pihak kerajaan Malaysia berkesan, maka saingan Liga-M akan kembali mewarnai kemeriahan stadium di seluruh negara seawal bulan depan.

"Kami sudah merancang beberapa pelan untuk Liga-M.

"Tiga tarikh (menjadi pilihan) boleh dijalankan iaitu pada 1 April, 1 Mei ataupun 1 Jun depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan, ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom.