Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, disahkan positif ujian koronavirus.

Pemain berusia 21 tahun itu terpaksa meninggalkan skuad kebangsaan Perancis, sehari sebelum pertemuan mereka dengan Croatia dalam Liga Negara-Negara Eropah.

Mbappe turut dijangka terlepas perlawanan Ligue 1 menentang Lens, Marseille, Metz dan Nice sepanjang tempoh kuarantinnya.

Bekas pemain Monaco itu sepatutnya diturunkan untuk menentang Croatia awal pagi esok biarpun mengalami kesakitan di pergelangan kakinya ketika menewaskan Sweden 1-0 minggu lalu.

"Kylian Mbappe akan terlepas perlawanan menentang Croatia," kata satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan Perancis dalam Twitter.

"Keputusannya dalam ujian COVID-19 -- yang dilakukan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) pagi ini -- didapati positif dan dia kini diasingkan daripada pasukan."

Penjaga gol, Steve Mandanda, dan pemain tengah, Houssem Aouar, terlebih dahulu meninggalkan skuad kebangsaan Perancis kerana turut didapati positif ujian bekenaan.

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, yang turut digugurkan sebelum Didier Deschamps mengumumkan senarai pemainnya, turut didapati positif virus itu.

Dalam pada itu, PSG juga mempunyai enam pemain yang dikatakan dijangkiti virus berkenaan ketika persediaan pramusim.

Pasukan kendalian Thomas Tuchel itu akan memulakan kempen Ligue 1 musim ini dengan menentang Lens awal pagi Jumaat ini.