Kelab Serie A akan mendapat tahu waktu saingan 2019-20 akan bersambung pada 28 Mei ini selepas kerajaan meluluskan latihan secara berkumpulan.

Minggu lalu, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, memberikan lampu hijau buat semua pasukan menyambung sesi latihan kelmarin tetapi ditangguhkan susulan kegagalan mencapai persetujuan di antara kerajaan dan Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) mengenai protokol perubatan.

Namun, Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora, mendedahkan Jawatankuasa Saintifik Teknikal (CTS) Itali telah meluluskan protokol terbaru.

Beliau juga mengesahkan satu mesyuarat akan diadakan pada 28 Mei ini untuk mengetahui sama ada Serie A akan disambung atau tidak selepas ditangguhkan sejak Mac lalu ekoran wabak coronavirus dan tidak akan dijalankan sebelum 15 Jun depan.

"Latihan berkumpulan akan bersambung," katanya.

"Beberapa penilaian telah dibuat dan FIGC akan meneliti cadangan awal.

"Hari ini, situasi membolehkan kami melonggarkan peraturan. Apabila keadaan semakin baik, dunia bola sepak berhak meraih peraturan yang lebih longgar.

"Saya menjadualkan satu mesyuarat pada 28 Mei depan jam 3 petang bersama Presiden FIGC, Gabriele Gravina, dan Presiden Lega Serie A, Paolo Dal Pino.

"Saya percaya Khamis depan kami akan meraih semua data untuk membuat keputusan waktu terbaik bagi menyambung saingan.

"Tarikh 28 Mei ini akan diketahui jika saingan liga akan disambung."