Bukan sahaja soal lokasi, bahkan penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) di Lembah Klang berdepan kemungkinan tidak dibenarkan sama sekali seandainya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berlanjutan.

Justeru, banyak perkara yang perlu diperhalusi kelab-kelab di Lembah Klang disebabkan tiada sebarang saingan yang dibenarkan berlangsung sepanjang tempoh ini hingga memaksa pasukan terlibat merangka pelan baru.

"Sebab itu mereka perlu keluar dari negeri yang terlibat dalam PKPD yang memerlukan kebenaran khas yang tidak membenarkan sebarang pergerakan keluar dan masuk.

"Jadi MFL telah mohon kebenaran ini.

"Mereka harus mencari kem berpusat yang baru hinggalah ada pengumuman baru daripada pihak kerajaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan.

Kuala Lumpur City kini sudah pun berada di Seremban bagi memudahkan proses persediaan menjelang saingan Liga Super yang akan bermula 24 Julai ini.

Bagaimanapun, jurulatih The City Boys, Bojan Hodak, masih belum mendapat sebarang kata putus di mana venue pilihan mereka untuk aksi pertama bertemu Sabah kelak disusuli pertemuan dengan Kedah, tiga hari kemudian.

"Sebaik dimaklumkan tidak boleh mengadakan perlawanan persahabatan di ibu kota, kami terus berpindah ke Seremban. Begitu juga dengan perlawanan sebenar jadi kami perlu mencari stadium.

"Kami akan mencari jalan selain mempunyai pelan B," kata jurulatih dari Croatia itu.

Pengurus UiTM, Mustaza Ahmad, bagaimanapun sudah mengesahkan hasrat mereka untuk menjadikan Stadium Paroi di Seremban sebagai venue pilihan andai PKPD bersambung.

Mustaza tidak berselindung bahawa penambahan bajet yang terpaksa dihadapi yang melibatkan logistik dan juga hal berkaitan keperluan ujian calitan ke atas pasukan dan pegawai.

"Apabila melibatkan penginapan maka ia juga membabitkan kos makanan.

"Sebab itu kami duduk di hotel kecil, atas kemampuan kami," katanya pula.

Dalam pada itu, Perak mahupun Melaka United menjadi pilihan destinasi Petaling Jaya City tetapi mereka masih berada di ibu kota dengan menjalani kem latihan berpusat.





Begitupun, PJ City akan memuktamadkan hala tuju mereka pada minggu depan berhubung destinasi pilihan untuk persiapan fasa akhir pasukan.

"Kami tidak dibenarkan melangsungkan perlawanan persahabatan di Lembah Klang.

"Kami mungkin perlu beralih ke Perak, Negeri Sembilan atau Melaka.

"Kami sedang berbincang dengan pasukan-pasukan lain untuk perlawanan pemanas badan pada minggu depan," kata jurulatih kelab The Phoenix, P Maniam.