Perlawanan persahabatan yang menemukan Itali dan Jerman dibatalkan ekoran pandemik koronavirus baru (Covid-19) , demikian Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) mengesahkannya.

Sukan di Itali -- termasuk Serie A -- digantung sehingga 3 April depan dengan negara itu berdepan 17,000 kes wabak berkenaan dengan angka kematian mencecah 1,266 -- terburuk di luar China.

Sementara itu, Bundesliga juga digantung apabila Jerman perlu menangani 4,000 kes dan lapan kematian.

Secara teorinya, perlawanan antarabangsa tetap dibenarkan untuk diteruskan di sebalik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mencadangkan penangguhan.

Jadual aksi antarabangsa ditetapkan pada hujung minggu sebelum 3 April depan, namun kelab tidak lagi wajib melepaskan pemain mereka berikutan keputusan Majlis FIFA itu.

Berikutan lebih 100 orang telah dijangkiti di Nuremberg, di mana Itali sepatutnya akan menghadapi Jerman maka perlawanan pada 31 Mac itu tidak akan diteruskan.


Penundaan perlawanan ujian di antara Itali dan England juga sudah diumumkan kelmarin.

Lebih banyak perlawanan antarabangsa dijangka akan dibatalkan selepas kelayakan Piala Dunia di Asia dan Amerika Selatan sudah pun ditangguhkan.

Perlawanan liga utama masih berlangsung secara tertutup di Serbia tetapi presiden Persatuan Bolasepak Serbia (FSS), Slavisa Kokeza, pula dikesan positif Covid-19.

"Kami mahu menegaskan bahawa presiden organisasi bola sepak kami kini di bawah pengawasan pasukan perubatan dan dalam keadaan baik dan kami akan meneruskan operasi," menurut satu kenyataan FSS.

Serbia akan menghadapi perlawanan play-off Euro 2020 menentang Norway pada 26 Mac, namun Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sedia merombak jadual itu dalam satu pertemuan pada Selasa depan.