Belum sempat sepak mula pertama sejak Liga Super tertangguh 9 Mei lalu, perlawanan Kedah Darul Aman-Pulau Pinang, malam esok, ditunda berikutan penularan COVID-19.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan dua pemain skuad Hijau Kuning itu yang tidak dinamakan telah dijangkiti pandemik berkenaan.

“Pihak MFL dimaklumkan oleh pihak pengurusan Kedah bahawa dua pemain disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam kem latihan pusat selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

“Ujian ini adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan kem latihan pusat bagi menjaga Gelembung Sukan," jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan.