Aston Villa telah melakukan perpindahan yang cukup menakjubkan apabila bersetuju untuk menandatangani pemain tengah Barcelona, Philippe Coutinho, secara pinjaman untuk baki musim ini.

Perancang kelahiran Brazil itu kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) empat tahun selepas berhijrah meninggalkan Liverpool untuk menyertai Barca.

Coutinho ditemukan semula dengan bekas rakan sepasukan ketika menyarung jersi Reds, Steven Gerrard, yang dilantik sebagai pengurus Villa November lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang memiliki kontrak bersama Barca sehingga Jun 2023, dipinjamkan sepanjang musim bersama Bayern Munich (2019-20) sebelum ini.

Dia dihimpit masalah kecederaan ketika di Camp Nou, dengan Barca mencari jalan untuk mengeluarkan dia daripada skuad bagi mendaftar pemain baru serta dalam usaha untuk mengekalkan khidmat Lionel Messi.

Tiada pihak yang mahu mendapatkan Coutinho ketika itu dan kini secara pinjaman telah kembali ke England bersama Villa, yang menghuni tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Villa berkata, "Aston Villa dan FC Barcelona telah mencapai persetujuan untuk Philippe Coutinho menghabiskan musim ini di Villa Park.

"Perjanjian itu, yang tertakluk kepada pemain melengkapkan pemeriksaan perubatan dan menerima permit kerja, juga termasuk pilihan untuk membeli dan Philippe akan ke Birmingham dalam masa 48 jam."

Coutinho telah membuat 16 penampilan Barca di semua pertandingan musim ini, turun lima kali dalam kesebelasan utama dan menjaringkan dua gol.