Corak serangan terhadap tiga pemain bola sepak tempatan dikenal pasti menggunakan modus operandi yang sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, modus operandi yang digunakan dalam kejadian pertama pada 2 Mei sehingga Selasa lalu adalah sama iaitu membabitkan dua individu.

Menurutnya, suspek akan mengekori mangsa sebelum melakukan serangan.

“Kita kenal pasti modus operandi kes terbabit, setiap kes serangan membabitkan dua orang atau berpasangan dan mengekori mangsa sebelum melakukan serangan.

“Ketiga-tiga kes ini berlaku selang dua hari bermula dari kes pertama melibatkan (Akhyar Rashid), kes kedua (Faisal Halim) serta kes ketiga iaitu Safiq Rahim, diharap kes sebegini akan berakhir," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketiga-tiga serangan itu tidak berkaitan antara satu sama lain.

Tambah Mohd Shuhaily, kejadian itu akan menjejaskan liga tempatan.

"Polis akan cari habis-habisan penjenayah yang terlibat dalam insiden ini.

"Jika mana-mana pemain bola sepak negara melihat sesuatu tidak biasa daripada kebiasaan diingat agar untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mengulas mengenai dua suspek terbabit kes Faisal, Mohd Shuhaily berkata, suspek pertama didapati positif dadah, manakala suspek kedua yang masih direman hingga 11 Mei memiliki tujuh rekod jenayah lampau.

"Antara rekod jenayah suspek adalah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Pada Selasa, cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), di Sri Gelam, Johor Bahru.

5 Mei lalu pula, Faisal yang merupakan tonggak Selangor FC mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid dua penunggang motosikal di Petaling Jaya.

Pada 2 Mei lalu, pemain bola sepak Terengganu FC, Akhyar Rashid cedera selepas menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu.-Sinar