Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, mendedahkan bahawa Leonardo Bonucci dan Mattia Perin akan memulakan perlawanan suku akhir Coppa Italia menentang Sassuolo sambil membayangkan Dusan Vlahovic mungkin direhatkan menjelang pertembungan Serie A getir dengan Atalanta.

Juventus belum tewas dalam 10 pertemuan liga sejak tumbang kepada Atalanta di kandang sendiri, hujung November lalu, tetapi kini perlu mengalihkan fokus mereka untuk mara ke separuh akhir Coppa Italia ke-10 sejak 2006-07 apabila akan menyambut Sassuolo di Turin.

Allegri, yang pernah menjulang piala domestik Itali itu sepanjang empat musim berturut-turut, menjelaskan Bianconeri berazam untuk mara ke separuh akhir tetapi tidak berselindung bahawa akan merombak pasukannya sempena perlawanan suku akhir berkenaan.

"Sassuolo bermain dengan baik daripada segi teknikal, mereka tewas 0-4 kepada Sampdoria dalam perlawanan terakhir, jadi mereka akan berusaha untuk membalas dendam," katanya.

“Kami memerlukan satu persembahan serius sebagai persediaan menghadapi Atalanta.

"Saya gembira dapat kembali dan berada dalam perlumbaan untuk semua gelaran. Semangat kami kembali bernyala selepas perlawanan terakhir tetapi kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa. Keyakinan terlalu tinggi juga tidak bagus.

"Sasaran kami adalah untuk mara sejauh mungkin dalam Liga Juara-Juara dan menamatkan saingan di empat teratas."



Allegri mengesahkan penjaga gol simpanan, Perin, dan pertahanan veteran, Bonucci, bakal menjadi taruhan utama menentang Sassuol sambil turut mendedahkan bahawa dia berkemungkinan merehatkan salah seorang bintang penyerang, Vlahovic.

Dia berkata lagi: "Semua orang sedia diturunkan selain Giorgio Chiellini dan Federico Bernardeschi. Moise Kean menjalani penggantungan sementara Bonucci dan Perin akan memulakan permainan. Coppa Italia adalah salah satu sasaran kami.

"Saya belum lagi memutuskan barisan pemain tetapi aksi yang paling penting ialah perlawanan seterusnya, jadi kami akan menerapkan formasi terbaik.

“Salah seorang daripada mereka (penyerang Juventus) boleh berehat, saya perlu menilai situasi Vlahovic."