JUVENTUS 2 INTER 4

Giorgio Chiellini mengesahkan dia akan meninggalkan Juventus di penghujung musim ini berikutan kekalahan 2-4 kepada Inter dalam perlawanan akhir Coppa Italia, awal pagi tadi.


Bek tengah veteran itu telah menghabiskan 17 tahun bersama Bianconeri dengan memenangi 20 trofi sepanjang berada di Turin.

Dia gagal meraih kejuaraan ke-21 selepas Inter menang dalam persembahan mendebarkan di Stadio Olimpico.

Juve kelihatan bersedia menyelamatkan musim mengecewakan ini dengan meraih setidak-tidaknya satu trofi apabila jaringan Alex Sandro dan Dusan Vlahovic dalam separuh masa kedua memberi mereka pendahuluan 2-1 selepas gol pembukaan menarik Nicolo Barella pada awal permainan meletakkan Inter di depan.

Bagaimanapun, senario pada lewat permainan yang menyaksikan Hakan Calhanoglu menyempurnakan sepakan penalti untuk mengheret permainan ke masa tambahan sebelum tendangan Ivan Perisic dari jarak 12 ela dan volinya memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Inter.







Chiellini yang masih belum sedia berkongsi perancangan masa depannya -- dilaporkan menerima tawaran daripada Liga Bolasepak Utama (MLS) -- berkata: "Kami pernah mengharungi 10 tahun yang indah maka terpulang kepada pemain sekarang untuk meneruskannya.

"Saya telah mencurahkan segala kudrat, saya berharap saya meninggalkan satu legasi. Isnin depan, saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada Stadium Juventus kemudian jika berkesempatan, saya mungkin akan beraksi di Florence (bertemu Fiorentina).

“Ia merupakan 100 peratus pilihan saya. Saya gembira dapat mencapai ke tahap yang begitu tinggi kerana saya telah katakan selama bertahun-tahun, saya tidak mahu menamatkan karier ini dengan bergelut dan tidak dapat beraksi di tahap sebenar.

"Saya telah memberikan segalanya, tidak lama lagi saya akan menjadi peminat Juventus dari luar. Selepas bertahun-tahun di kelab ini, ia tidak lagi boleh dielakkan."

Kekalahan itu bermakna Juve akan menamatkan musim tanpa trofi buat kali pertama sejak kempen 2010-11.