PALMEIRAS 0 ATLETICO MINEIRO 0

Pemain kebangsaan Brazil, Hulk, gagal menyudahkan sepakan penalti dalam babak pertama untuk Atletico Mineiro terikat 0-0 dengan juara bertahan, Palmeiras, dalam perlawanan separuh akhir pertama Copa Libertadores di gelanggang lawan hari ini.

Hulk, yang menjaringkan tujuh gol dalam edisi kali ini, memperdayakan penjaga gol Palmeiras, Weverton, tetapi sepakan penaltinya pada minit ke-42 sekadar menggegarkan tiang gol.

Dalam perlawanan itu, yang memperlihatkan betapa penjaga gol kedua-dua pasukan amat jarang diuji, Atletico mencipta lebih banyak peluang di Sao Paulo's Allianz Parque dengan 11 percubaan tetapi tiada satu pun daripadanya dapat menghasilkan gol.

Luan melepaskan percubaan kaki kiri yang tersasar buat pelawat pada awal permainan sebelum Palmeiras mensia-siakan peluang menerusi percubaan liar Rony.

Pertahanan Paraguay, Gustavo Gomez, menjatuhkan Diego Costa dalam kawasan penalti tetapi kesempatan berharga buat Atletico itu tidak dapat dimanfaatkan Hulk.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Belo Horizonte minggu depan, di mana pemenang dalam pertemuan itu akan menghadapi sama ada Flamengo atau kelab Ecuador, Barcelona, di Montevideo pada 27 November depan.