REAL OVIEDO 0 ATLETICO 2

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, percaya Antoine Griezmann telah membuka mata banyak pihak selepas keraguan terhadap prestasinya, baik untuk kelab dan pasukan kebangsaan apabila membuktikan bahawa sentuhannya masih luar biasa.


Griezmann menjadi subjek kekecewaan peminat Barcelona selama dua tahun di Camp Nou, malah ramai yang turut kecewa apabila dia kembali ke Atletico pada 2021.

Dia menghadirkan sumbangan tersendiri pada awal musim ini berhubung klausa minit permainan yang menyebabkannya jarang diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum Barca menurunkan tuntutan harganya daripada €40 juta (RM186.8J) ke €20j (RM93.4j) Oktober lalu.

Griezmann kemudian menikmati kempen cemerlang dalam Piala Dunia bersama Perancis walaupun beraksi di posisi yang lebih ke tengah untuk memainkan peranan penting ketika Les Bleus mara ke final sebelum tewas secara dramatik kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti.

Sejak kembali ke pangkuan kelab itu, dia telah mencipta tiga bantuan gol dalam dua perlawanan termasuk hantaran voli cantik kepada Marcos Llorente dalam kemenangan 2-0 saingan Copa del Rey ketika bertandang ke pasukan divisyen dua, Real Oviedo, awal pagi tadi.

Simeone sentiasa menyokong Griezmann dan percaya pemain itu telah menutup mulut beberapa pengkritiknya, lebih-lebih lagi bakal berhitung dengan Barca, awal pagi Isnin depan.

"Anda perlu ingat kembali tujuh hari sebelum Piala Dunia, bagaimana dia beraksi dalam perlawanan pertama Copa del Rey.



"Dia melakukannya melalui dedikasi yang sama, komitmen yang sama," kata pengurus itu kepada pemberita.

"Antoine sentiasa mahu berada di sini. Dia meraih semula kasih sayang peminat; di atas padang dia bersuara dan ia adalah imej yang baik buat rakan sepasukannya, dia mahu mereka mencapai tahap penting.

"Dia merupakan pemain yang luar biasa walaupun pada hakikatnya ramai yang memikirkan sebaliknya."