BARCELONA 5 LEGANES 0

Quique Setien tidak khuatir sekiranya Barcelona gagal menandatangani sebarang penyerang dalam jendela perpindahan bulan ini berikutan Ousmane Dembele akan beraksi dengan "luar biasa" sejurus kembali daripada kecederaan.

Sebelum kemenangan 5-0 ke atas Leganes dalam pusingan 16 Copa del Rey awal pagi tadi, pengarah Barca, Guillermo Amor, mengesahkan bahawa kelab Catalan itu tidak akan mendapatkan pengganti kepada Luis Suarez -- yang akan tersisih sehingga Mei depan akibat kecederaan lutut -- selepas rundingan untuk mendapatkan penyerang Valencia, Rodrigo Moreno, menemui jalan buntu.

Lionel Messi menyumbat dua gol selain terlibat mencipta gerakan untuk tiga gol lagi ketika pasukan bimbingan Setien itu menikmati kemaraan ke suku akhir yang menyaksikan Antoine Griezmann, Clement Lenglet dan Arthur turut mencetak nama selaku penjaring.

Setien mengakui ketiadaan muka baru meletakkan Barca di kedudukan yang tidak menentu di jentera serangan biarpun Dembele hanya akan kembali menjalani latihan pada hujung minggu lalu sejak diketepikan pada November lalu ekoran kecederaan paha.

Ditanya mengenai ketiadaan pemain baru, Setien berkata: "Saya tetap tenang. Kecederaan berlaku dan ia di luar kawalan kami. Saya sudah biasa bekerja dengan sumber yang saya ada.

"Pasaran pemain tidak dapat menjamin apa-apa, namun kami juga akan kembali menyambut kehadiran Dembele.

"Dia seorang pemain yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan saya fikir dia boleh memberikan sumbangan besar. Dia selesa beraksi di sebelah sayap dan kami akan cuba memanfaatkannya.

"Saya yakin dia akan menawarkan potensi tinggi kepada kami dan akan membuktikan kemampuannya. Dembele akan menjadi luar biasa."

Pemain Perancis itu ditandatangani daripada Borussia Dortmund dengan harga €105 juta (RM473.2 j) pada awal Ogos 2017 tetapi sering bergelut dengan kecederaan.

Kemenangan ke atas Leganes itu menyaksikan mereka memadam kekalahan pertama di bawah sentuhan Setien minggu lalu apabila tumbang 0-2 kepada Valencia yang menyaksikan mereka tercicir tiga mata di belakang Real Madrid bagi perebutan trofi LaLiga.

"Kami melakukannya dengan baik dalam tempoh 20 hingga 25 minit pertama, memang benar mereka boleh menghukum kami tetapi kami banyak melakukan perkara yang baik tetapi saya tidaklah berpuas hati sepenuhnya," katanya selepas perlawanan itu.

"Kami menyumbat gol tetapi kami gagal menguasai permainan dan ia menawarkan banyak ruang kepada mereka apabila kami dikerah untuk kembali menguasai permainan."




Editor: Shaiful Shamsudin