REAL MADRID 3 ATLETICO MADRID 1 (Selepas masa tambahan)

Real Madrid memerlukan sehingga masa tambahan untuk bangkit menewaskan seteru setempat, Atletico Madrid, 3-1 dalam perlawanan suku akhir Copa del Rey awal pagi tadi.

Los Blancos ketinggalan dalam perlawanan di Santiago Bernabeu itu selepas bekas penyerang mereka, Alvaro Morata, membuka jaringan buat Atletico dalam babak pertama.

Bagaimanapun, Rodrygo kemudian menghasilkan jaringan solo menarik untuk perlawanan di ibu kota Sepanyol itu dilanjutkan selama 30 minit lagi sebelum Karim Benzema dan Vinicius Junior melengkapkan kebangkitan tuan rumah.

Dengan kemenangan itu, pasukan bimbingan Carlo Ancelotti berkenaan menyertai Barcelona, Athletic Bilbao dan Osasuna ke separuh akhir.

Walaupun menguasai sejak awal permainan, pasukan tuan rumah itu dikejutkan pada minit ke-19 apabila Morata menyudahkan umpanan Nahuel Molina dari jarak dekat.

Madrid kemudian terlepas peluang terbaik pada setengah jam permainan, di mana tandukan Eder Militao tidak berhasil menemui sasaran.

Keadaan kian sukar buat pasukan bimbingan Ancelotti itu apabila Ferland Mendy terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

Bagaimanapun, kesabaran yang ditunjukkan Los Blancos akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-79 apabila Rodrygo mengatasi empat pertahanan lawan sebelum menewaskan Jan Oblak bagi mengikat kedudukan 1-1.

Aksi kian tegang dalam masa tambahan, di mana Stefan Savic diarahkan keluar padang pada minit ke-99 selepas mengumpulkan dua kad kuning.

Dengan kelebihan seorang pemain, Madrid mengesahkan kemenangan mereka hasil jaringan Benzema dan Vinicius, masing-masing pada minit ke-104 dan 120.