ATHLETIC BILBAO 1 REAL MADRID 0

Athletic Bilbao membalas dendam terhadap kekalahan mereka dalam Supercopa de Espana apabila menewaskan Real Madrid 1-0 dalam suku akhir Copa del Rey di San Mames awal pagi tadi.

Alex Berenguer menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk membawa pasukan bimbingan Marcelino itu ke separuh akhir dan akan bertemu sama ada Valencia, Real Betis atau Rayo Vallecano.

Madrid menewaskan Athletic 2-0 dalam final Supercopa bulan lalu tetapi tidak dapat memecahkan kebuntuan tanpa Karim Benzema dalam pertemuan kali ini.

Ia bermakna Athletico, yang menyingkirkan Barcelona dalam penentuan sebelum ini, berpeluang untuk mara ke final Copa del Rey buat kali ketiga berturut-turut selepas tewas dalam dua edisi lalu kepada Barcelona dan Real Sociedad.

Aksi babak pertama berlangsung sengit dengan beberapa siri percubaan berbahaya, di mana Athletic lebih memberikan ancaman dengan 10 percubaan ke gawang Madrid walaupun hanya memegang 41.3 peratus penguasaan permainan.

Tandukan Inigo Martinez diselamatkan penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois, pada awal babak kedua sebelum percubaan Raul Garcia yang terbias pula tersasar.

Madrid kembali menguasai permainan menjelang penghujung aksi tetapi Casemiro mensia-siakan peluang keemasan susulan kuisan ke belakang Marco Asensio, di mana percubaannya tepat ke arah penjaga gol, Julen Agirrezabala.

Ketika perlawanan kelihatan akan diheret ke masa tambahan, Berenguer mencipta keajaiban apabila menghasilkan penyudah kaki kiri lencong dari dalam kotak penalti Madrid untuk menewaskan Courtois.